warisan terindah melaka - Rumah Penghulu Abdul Ghani / Penghulu Md Natar terletak di Merlimau Melaka

Monday 23 April 2012

Rumah Warisan Shaharizan Abd Jalil Kampung Lereh

Rumah Warisan Shaharizan Abd Jalil Kampung Lereh:
http://rumahwarisanshaharizanabdjalilkglereh.blogspot.com/


Rumah ini juga turut dikenali dengan nama "Teratak Warisan". Keunikan rumah ini adalah ia merupakan senibina Melayu Melaka asli yang telah terbina selama seabad dan telah diwariskan kepada En. Shahrizan Abd Jalil telah dihuni selama oleh empat generasi. Selain itu rumah beliau juga mempunyai gabungan senibina yang unik serta menjanjikan element-element asli yang dipengaruhi oleh budaya-budaya Melayu. Fungsi ruang, nilai estika pada ciri binaan dan motif ukiran adalah lambang yang mencerminkan jatidiri masyarakat Melayu tradisi yang mementingkan kerja tangan serta seni ukiran halus yang menitikberatkan seni ukiran dan senibina.

Rumah Warisan Mariam Othman Kampung Morten

Rumah Warisan Mariam Othman Kampung Morten:
http://rumahwarisanmariamothmankampungmorten.blogspot.com/


Rumah warisan Mariam Othman ini sudah berusia lebih daripada seratus tahun lamanya, Rumah yang pada asalnya dimiliki oleh Sidang Mahmood ini adalah diantara deretan rumah yang masih mengekalkan nilai-nilai tradisi dan sejarah yang terkandung di Negeri Melaka. Walau pun sudah dinaik taraf beberapa kali namun ini nilai sejarah dan seni yang melekat di rumah ini tidak pernah pudar ditelan arus kemodenan. Ada diantara bahagian rumah yang sudah wujud dan masih kekal daripada zaman penjajahan British lagi seperti atap rumah.

Sunday 22 April 2012

Rumah Warisan Yaacob Buang Bukit Godek

Rumah Warisan Yaacob Buang Bukit Godek:
http://rumahwarisanyaacobbuangbukitgodek.blogspot.com/


Rumah milik Encik Yaacob bin Buang dan Puan Zaleha bt Kasim yang terletak di 4801-Batu 3, Jalan Bukit Godek, Kampung Semabok Dalam ini merupakan rumah yang mempunyai nilai senibina yang menarik. Rumah ini didirikan pada tahun 1909 telah diduduki oleh beberapa generasi namun keunggulan senibinanya masih kekal hingga ke hari ini sebagai tatapan kehalusan seni ukiran Melayu untuk generasi hari ini.

Maklumat dari akhbar tempatan:

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm 

Rumah Busu Dolah tiada Pendua

FALSAFAH reka bentuk rumah tradisi Melayu Melaka sememangnya sangat unik. Ia adalah garapan apresiasi pemiliknya terhadap budaya Melayu, keindahan alam dan kehidupan bermasyarakat yang diterjemahkan melalui ilham seni bina. Justeru, identiti rumah Melayu Melaka begitu mudah dikenali. Bumbungnya panjang memayungi bahagian serambi rumah dan binaan tangga batunya pula seakan-akan wajib diberi kemasan jubin bermotif flora.

Bagi Yaakob Buang, 54, jendela yang dipasang rendah dan ukiran kayu turut dijadikan tanda pengenalan. Lebih dikenali sebagai Busu Dolah, penjawat awam ini merupakan pemilik satu-satunya rumah tradisional Melayu Melaka yang ada di negara ini.

Kemewahan rumah yang diwarisi daripada datuknya, Hitam Buntal ini bukan dilihat pada perabot atau hiasan dalaman sebaliknya dinilai berdasarkan kehalusan ukiran dan seni binanya. Tersergam indah di Jalan Bukit Godek, Kampung Semabok Dalam, Melaka, rumah warisan tersebut sudah berusia 103 tahun.


TANGGA rumah Melayu Melaka seakan-akan wajib
 dihias dengan jubin warna-warni dengan motif flora.


“Menurut arwah bapa, rumah ini mula dibina pada tahun 1909 oleh tukang rumah tempatan. “Pembinaannya tidak menggunakan paku sebaliknya memakai pasak dan tanggam sahaja,” kata Busu Dolah. Mewah dengan ukiran kerawang jenis tebuk tembus dan tebuk timbul di keseluruhan serambi dan rumah ibu, ternyata ia melahirkan rasa kagum yang bukan sedikit. Biarpun sudah didiami selama empat generasi, keunggulan seni binanya yang masih kukuh sekali gus membuktikan seni bina budaya Melayu suatu masa dahulu benar-benar berkualiti. 

Menurut Busu Dolah, rumahnya itu sering menjadi tumpuan pelancong, arkitek, jurutera dan penuntut universiti tempatan. Malah, ia juga menjadi pilihan pelbagai syarikat produksi serta stesen penyiaran dari dalam mahupun luar negara untuk dijadikan lokasi penggambaran.

“Selain seni bina rumah, ukiran kerawang turut menggamit pengunjung bertandang ke mari. Daripada kajian yang dijalankan, semuanya berpendapat ukiran yang ada di rumah ini tiada penduanya di tempat lain. “Rumah ini juga dianggap sebagai satu-satunya rumah warisan Melayu Melaka yang masih ada,” katanya.

           TERDAPAT 12 jendela kayu lengkap dengan kayu ram yang mengawal kemasukan cahaya dan udara di serambi rumah.

Bercerita lanjut tentang ukiran yang menjadi penyeri kediamannya, Busu Dolah memberitahu, sekeping ukiran kayu mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan. “Arwah datuk mengupah orang kampung untuk mengukir kerawang dengan motif flora dan geometri dengan upah 10 sen sehari. “Diukir menggunakan pahat dan penukul, hasil kerja tangan ini memang halus buatannya,” ujarnya. Selain untuk tujuan hiasan, kepelbagaian ukiran berlubang di atas jendela, muka pintu dan dinding turut menggalakkan kemaskan udara dan cahaya ke dalam rumah.

Memetik kata-kata Penolong Pengurus Projek, Badan Warisan Malaysia, Intan Syaheeda Abu Bakar, ukiran penuh kerawang bukan sahaja dipandang sebagai aksesori tetapi turut menunjukkan status pemilik rumah. “Boleh jadi juga,” pintas Busu Dolah. Suatu masa dahulu, arwah datuknya merupakan peniaga yang cukup disegani. “Selain mempunyai tanah bendang yang luas, beliau turut dikenali sebagai pengeksport telur ikan terubuk Melaka ke Thailand.

“Beliau juga menghasilkan baja sawah daripada tulang lembu yang dibakar dan ditumbuk sebelum dijual kepada penduduk kampung,” ujar Busu Dolah lagi. Meneliti reka bentuk rumah yang berusia lebih seabad ini, identiti rustik, canggih dan bistari yang diserap melalui teknik pembinaannya nyata masih relevan untuk dipraktikkan dalam seni bina masa kini. Selain berfungsi sebagai tempat berlindung, binaannya tidak lari daripada perincian khusus bagi memastikan keselesaan penghuni tanpa melupakan pengaruh adat dan alam. “Serambi adalah bahagian hadapan rumah di mana tuan rumah menyambut kedatangan tetamu.

“Jika ada yang bermalam di sini, kaum lelaki akan tidur beramai-ramai di serambi sementara anak dara akan berehat dan tidur di loteng atas rumah,” ujar isteri Busu Dolah, Zainab Mat Yasin, 51. Rumah ini pada asalnya memanjang ke belakang dan tidak mempunyai rumah bawah. Namun, selepas lebih 70 tahun digunakan, bahagian dapurnya dibuka dan diganti dengan rumah bawah yang dibina menggunakan batu. “Kos untuk membaiki rumah kayu sangat tinggi, lagipun rumah asal mempunyai sebuah bilik sahaja,” tambah Busu Dolah.

                              KEMEWAHAN rumah Busu Dolah dilihat dari aspek
 seni bina tradisional dan ukiran kerawang yang halus buatannya.

Friday 13 April 2012

Rumah Warisan Rabiah Mat Klebang Besar

Rumah Warisan Rabiah Mat Klebang Besar:
 http://rumahwarisanrabiahmatklebangbesar.blogspot.com/


Rumah yang beralamat di no. 3764-C batu 3 1/2 Klebang besar, 75200 Melaka terletak berhampiran dengan Pantai Klebang yang kini menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara. Rumah ini diwariskan oleh Allahyarhammah Rabiah Binti Hj Mat kepada anak-anak dan keturunannya. Sebenarnya rumah diwarisi oleh Allahyarhammah daripada ayahandanya yang merupakan tulang belakang kepada pembinaan rumah yang memilik 1001 keunikan dan nilai seni dan budaya. Usia rumah ini dikhabarkan telah melebihi 100 tahun, namun begitu oleh kerana aspek kehalusan dan ketelitian pembina rumah ini telah menjadikan rumah ini masih utuh berdiri sehingga ke hari ini. Rumah ini dijangka telah dibina sekitar tahun 1920an.


Rumah Warisan Ariffin Ali Bukit Palah

Rumah Warisan Ariffin Ali Bukit Palah:
http://rumahwarisanariffinalibukitpalah.blogspot.com/


Rumah yang dimiliki oleh Encik Ariffin Ani beralamat di No. 4024-C Lorong Haji Ariffin Ali, Jalan Bukit Palah, Melaka. Lokasi rumah adalah berhampiran dengan Masjid Al-Azim dan juga Melaka Sentral. 

Maklumat dari PERZIM:

Rumah tradisional Melayu Melaka sememangnya merupakan daya tarikan kepada para pelancong yang singgah ke Melaka. Sebagai langkah pemuliharaan maka dua buah rumah tradisional yang terdapat di Bukit Palah telah dipilih untuk dijadikan model dan dinaiktaraf. 

Rumah milik Encik Hamid bin Sidek dan Encik Ariffin bin Ali dipilih berdasarkan kedudukannya yang srategik dan keunggulan senibina rumah Melayu yang telah diwarisinya sejak turun temurun. Kedua-dua buah rumah Melayu ini dibina sekitar tahun 1923 dan telah melalui beberapa perubahan yang sedikitpun tidak mengganggu ataupun merubah fasad hadapannya. 

Rumah-rumah ini didapati mempunyai lanskap dan ciri-ciri asal rumah Melayu yang perlu dipulihara mengikut garis panduan yang telah ditetapkan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 (Pindaan 1993). Rumah Melayu ini juga mempunyai daya tarikan yang tersendiri di mana setiap binaan dan struktur asas rumah seperti tiang, bumbung, bendul, tingkap dan tangganya dikatakan dibina dengan mewakili pelbagai maksud yang tersendiri. 

Bahan-bahan yang digunakan juga adalah terdiri daripada kayu yang mudah diperolehi. Kerja-kerja baiikpulih semula kedua-dua rumah tersebut telah dilaksanakan oleh pihak Perbadanan Muzium Melaka melalui peruntukan Kerajaan Negeri Melaka. (sumber dari - http://www.perzim.gov.my)

Rumah Warisan Abu Hassan Mat Pengkalan Batu


Rumah Warisan Abu Hassan Mat Pengkalan Batu:
http://rumahwarisanabuhassanmatpengkalanbatu.blogspot.com/

Rumah tradisional berbumbung limas ini terletak di Pengkalan Batu, Melaka. Adalah milik En. Mat bin Wahab telah diwariskan kepada Encik Abu Hassan. Rumah tersegam indah ini menggunakan ukiran kayu merbau telah wujud sekitar tahun 1940an lagi.

Disebabkan rumah ini dibina berteraskan seni bina rumah lama maka rumah warisan ini amat sesuai untuk dijadikan latar belakang bagi sesebuah filem atau drama yang berunsurkan kisah Melayu klasik. Antara filem yang pernah disunting berlatarbelakangkan rumah lama ini ialah filem Hati Malaya:

1957 Hati Malaya
Plot era kini menceritakan lima sahabat iaitu Hali, Salmi, Rafik, Ani dan Ang Lee berusaha keras untuk menerbitkan sebuah buku ilustrasi tentang kemerdekaan yang bertajuk "1957 - Hati Malaya". Hali berperanan sebagai editor menjadikan bekas rumah datuknya sebagai pejabat mereka. Dalam pada masa yang sama, Hali berusaha mengumpulkan wang sekurang-kurangnya RM 2 juta untuk mendapatkan semula rumah yang penuh kenangan itu. Sambil mereka cuba menyiapkan buku tersebut, imbasan bermula dengan tiga orang dari tahun 1940-an iaitu Normala, Muzafar dan Khalilah berpindah untuk membuka Warung Asam Laksa. Kemudian dipaparkan perbincangan Anwar Malek iaitu seorang ketua kerani Jabatan Kerja Raya, dan Dato' Onn yang ketika itu merupakan Pegawai Daerah Batu Pahat, tentang kerisauan mereka dengan penubuhan Malayan Union. Mereka kemudian mengusulkan satu persatuan untuk mengumpul orang-orang Melayu menentang gagasan tersebut dan Anwar menamakan "United Malays National Organisation" (UMNO).

Thursday 12 April 2012

Rumah Warisan Jaafar Hasim Kampung Serkam

Rumah Warisan Jaafar Hasim Kampung Serkam:
http://rumahwarisanjaafarhasimkampungserkam.blogspot.com/


Rumah yang terletak di Jalan Datuk Andak, Kampung Serkam Timur ini dimiliki oleh Haji Jaafar Hahim. Ianya telah dibina lebih dari 100 tahun dan berada di kawasan yang terkenal dengan masakan ikan bakar dan ianya juga berhampiran dengan balai polis serta balai raya Kampung Serkam.

Maklumat dari akhbar:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm

ARKIB : 08/03/2012
Serkam syurga makanan halal
Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my
Gerai ikan di Sempang menyediakan pelbagai jenis ikan segar untuk pelanggan 
yang datang dari kawasan sekitar dan luar dengan harga yang berpatutan. 
 
JASIN 7 Mac - Kampung Serkam adalah sebuah kampung antara yang tertua di negeri ini dan selalu mendapat kunjungan pedagang Islam dari Arab dan India. Mereka datang berdagang dan mengembangkan ajaran Islam dan kawasan ini juga menjadi tempat persembunyian pahlawan-pahlawan dari Palembang yang kalah berperang. Ini menjadikan Kampung Serkam mempunyai banyak rahsia. 

Asal usul kampung ini berasal dari perkataan Arab 'Sir' bermaksud rahsia dan 'Kam' bermaksud banyak. Sirkam bermaksud 'kampung banyak rahsia dan ia diubah menjadi Serkam. Dulu, Kampung Serkam terkenal dengan gelaran 'Serambi Mekah' kerana ramai anak muda pergi mempelajari bidang agama Islam di Mekah dan pulang menjadi guru agama dan mendirikan pondok-pondok agama. Kampung Serkam mempunyai kawasan yang luas merangkumi Kampung Umbai, Pulai, Tedong dan Sempang tetapi setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ia telah dipecah-pecahkan bagi memudahkan ia diurus dan ditadbir.

Kini kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam meliputi Kampung Bukit Tembakau, Umbai Pantai, Berangan Enam, Tanjung, Seri Minyak, Pulai, Serkam Darat, Tedong, Sempang dan kampung Serkam. Masa sudah berlalu dari sebuah perkampungan terpencil, Serkam kini membangun di mana penduduknya menikmati pelbagai infrastruktur kemudahan awam di setiap kampung di DUN tersebut.

Komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri dapat dilihat dengan terbinanya kemudahan asas untuk masyarakat di Serkam seperti kemudahan balai raya, dewan serba guna, surau, masjid, sekolah menengah dan rendah, gerai-gerai perniagaan, tandas awam dan sebagainya. Terdapat dua buah sekolah menengah, tujuh sekolah rendah serta sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di samping mempunyai sepuluh buah masjid serta 53 surau di seluruh DUN Serkam.

Di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Ghazale Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Serkam membangun dengan mempunyai tarikan tersendiri berbanding beberapa daerah yang lain di negeri ini. Tidak hairanlah Serkam boleh dilabelkan sebagai syurga makanan halal di negeri ini. Mercu tanda utama di kawasan ini ialah Serkam Halal Hub yang menjadi kawasan hab industri terbesar di negeri ini selain berdaya saing di peringkat antarabangsa. 

Dibangunkan di kawasan seluas 53. 4 hektar di Kawasan Perindustrian Serkam, kini menjadi hab pengedaran produk halal bagi mempelbagaikan ekonomi di DUN tersebut selain membuka peluang perniagaan dan pekerjaan baru kepada penduduk setempat. Serkam Halal Hub mempunyai 58 usahawan Bumiputra terlibat dalam industri seperti pembuatan sarung tangan getah, kotak telor, mayonis, makanan ternakan, roti putar, jus, minuman dan makanan ringan, acar, koko minda serta herba.

Sunday 8 April 2012

Rumah Warisan Omar Md Nawi Tanjung Kling

Rumah Warisan Omar Md Nawi Tanjung Kling:
http://rumahwarisanomarmdnawitanjungkling.blogspot.com/


Rumah ini dipunyai oleh Encik Omar Md Nawi terletak di Tanjung Kling Melaka telah berusia lebih dari 30 tahun ianya telah dipindahkan daripada kedudukan asal rumah tersebut pada tahun 1980 dengan cara mengangkat rumah tersebut beramai-ramai. 

Rumah ini menjadi tumpuan pembuat filem dan drama untuk menjadi lokasi pengambaran filem atau drama mereka antaranya adalah 'Asmara Pontianak K-Pop', 'Pabila Syaitan Berbisik', 'Noktah Pilu' dan 'Sapu Tangan Merah':

Asmara Pontianak K-Pop
Mengisahkan tentang dua pemuda kampung yang selalu mahu menyaingi diantara satu sama lain. Jejai atau nama sebenarnya Sujaiman Jupri adalah seorang konduktor bas di Bandar Kuala Selangor. Seorang yang baik, mesra, lucu dan jujur. Suka melaram dan bergaya walaupun hanya seorang konduktor bas. Manakala pesaingnya Rain atau nama sebenarnya Tamirin Seeron adalah seorang pemuda berwajah jambu yang berlagak cool, trendy dan fanatikkan muzik k-pop dan fesyen korea.
                                                                           

                                                                            Pabila Syaitan Berbisik
Disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 22 April 2011 meletakkan barisan pelakon terkenal Dato' Jalaludin Hasan, Dian P.Ramlee, Remy Ishak, Ayu Raudah dan Hafizudin. Ayu Raudah membawakan watak jahat sebgai gadis kampung lupa daratan yang sanggup menghancurkan rumahtangga orang lain demi mengejar kemewahan hidup.






Rumah Warisan Wahab Arshad Selandar

Rumah Warisan Wahab Arshad Selandar:
http://rumahwarisanwahabarshadselandar.blogspot

Rumah yang dimiliki oleh Encik Wahab Arshad ini telah dibina pada tahun 1924, kerja-kerja penambahan bagi bahagian belakang rumah ini telah dilakukan pada tahun 1940. Rumah ini kini didiami oleh Puan Normala Ali iaitu waris kepada pemilik rumah ini.

Rumah Warisan Rabiah Luwy Pengkalan Batu

Rumah Warisan Rabiah Luwy Pengkalan Batu:
http://rumahwarisanrabiahluwypengkalanbatu.blogspot.com


 

Rumah ini adalah milik En. Tapah bin Umar telah dibina sebelum tahun 1960 telah diwariskan kepada menantu beliau iaitu Puan Rabiah Luwy. Rumah limas ini terletak di Pengkalan Batu, Melaka turut menjadi pilihan para produser filem dan drama untuk melakukan pengambaran bagi filem dan drama mereka di sini antaranya 'Anak Kerak', "Burger Layang Diri', 'Bomoh Temberang' dan 'Ustaz Cokelat'.

                                                                                   Burger Layan Diri

Telefilem Burger Layan Diri ini mengisahkan tiga sahabat yang malas bekerja dan suka berangan-angan untuk memiliki hati Salmah yang merupakan seorang gadis cantik di kampung mereka. Pada suatu hari mereka mendapat idea untuk membuka gerai burger bagi mengubah kehidupan mereka. Pada mulanya perniagaan mereka sangat maju, didorong dengan sifat kemalasan yang sedia ada mereka memperkenalkan teknik burger layan diri.

Bomoh Temberang


Telemovie Bomoh Temberang mengisahkan seorang budak kampung bernama Samad yang ingin hidup mewah dengan cara yang mudah iaitu menjadi bomoh. Disebabkan cinta pada anak pengusaha kedai makan dia sanggup untuk menjadi bomoh temberang yang akhirnya memakan diri sendiri. Saksikan Jepp Sepah, Liza Abdullah, Rosnah Mat Aris dan ramai lagi.


Ustaz Cokelat

Drama ini mengisahkan Hj Kassim yang pulang ke kampung bersama anak perempuannya, Hasnah. Hj Kassim cuba mentarbiahkan Geng Abot dan Geng Sidek untuk 'meminati' aktiviti surau. Bagi menjayakan misi tersebut Ustaz Kassim menggunkan coklat dengan memasak coklat untuk semua penduduk kampung. Hasrat Hj Kassim untuk berdakwah dengan menggunakan coklat telah menerima ejekan daripada Hj Shuib.


Monday 2 April 2012

Rumah Warisan Joret Ali Kampung Morten

Rumah Warisan Joret Ali Kampung Morten:
http://rumahwarisanjoretalikampungmorten.blogspot.com/



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Legasi Kampung Morten 
Kampung tradisional Melayu ini seperti muzium hidup.
RAMAI pelancong yang melawat Kampung Morten menganggap kampung tradisional Melayu ini sebagai muzium hidup. Ini tidak menghairankan kerana ramai penduduk kampung itu masih mengamalkan cara hidup lama, di samping mempamerkan keunikan reka bentuk rumah mereka. Kampung Morten yang diambil sempena nama seorang Pesuruhjaya Tanah Inggeris, Frederick Joseph Morten, mempunyai 85 buah rumah termasuk 52 rumah tradisional Melaka. Morten dipercayai memainkan peranan penting bagi membina kampung itu pada tahun 1920-an, sementara pengasasnya dikenali sebagai Allahyarham Othman Mohd Noh. Kampung itu terletak di kawasan paya yang diliputi hutan pokok nipah di pinggir Sungai Melaka. 

Kampung Morten merupakan satu-satunya kampung Melayu di bandar bersejarah Melaka yang masih memiliki identiti tersendiri. Antaranya reka bentuk rumah, cara menghias rumah dan landskapnya. Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin. Tangga batu merupakan ciri-ciri utama, di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah tradisional tersebut biasanya dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga. Ini menjadikan Kampung Morten begitu istimewa dan berupaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara. 

Pengunjung berpeluang melihat kesemua deretan rumah tradisional yang tersusun dari segi bentuk bumbung, tangga dan hiasan dalaman. Ia seolah-olah membawa pengunjung kembali ke zaman kerajaan Melayu Melaka. Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong. Kini, perkampungan itu dikelilingi bangunan moden dan aliran air Sungai Melaka yang bersih dengan kedua-dua tebing sungai diperindah oleh kerajaan negeri. Mereka yang menaiki Melaka River Cruise, berpeluang menyusuri kira-kira empat kilometer di sungai berkenaan, tentunya terpegun melihat rumah tradisional Melayu yang terdapat di kampung tersebut. 

Bernama
                                                                                                                                                                                                           

Rumah Warisan Rahimah Tompang Pengkalan Batu

Rumah Warisan Rahimah Tompang Pengkalan Batu:
http://rumahwarisanrahimahtompangpgklnbatu.blogspot.com/



Rumah yang beralamat di No. C 8481 Batu 3 1/2 Pengkalan Batu, Batu Berendam, Melaka ini dimiliki oleh Puan Rahimah binti Tompang. Rumah telah berusia lebih dari seratus tahun terus mengekalkan keindahan seni bina rumah limas melaka dengan ukiran dan seni taman yan sungguh indah.

Kawasan ini turut mengekalkan suasa perkampungan Melayu Melaka di mana pada setiap hujung minggu kawasan perkampungan Pengkalan Batu ini sentiasa bersedia untuk menerima kunjungan pelancong dari luar dan juga pengunjung tempatan.

Maklumat melalui akhbar :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm

ARKIB : 01/10/2000 Utusan Malaysia
Keunikan rumah kayu Melaka
RAHIMAH Tompang menunjukkan salah sebuah bakul antik peninggalan keluarganya.

Rata-rata pelancong asing ini tertarik dengan keunikan cara hidup dan budaya masyarakat Melayu serta keindahan reka bentuk rumah Melayu Melaka yang jelas dilihat di Malacca Kampung House yang terletak kira-kira 5.6 kilometer dari bandar Melaka. Pemilik rumah berkenaan, Rahimah Tompang, 49, berkata, sejak dibuka kepada pelancong pada bulan Mei 1998, hampir 5,000 pelawat asing dan tempatan telah mengunjungi rumah tersebut.  

Kebanyakan mereka yang datang dari Eropah, Asia Timur dan Amerika Syarikat dapat menyaksikan sendiri cara hidup dan budaya masyarakat Melayu di negara ini. "Melalui lawatan itu mereka lebih memahami dan mengetahui adat resam, kebudayaan dan kehidupan keluarga Melayu,'' katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Di rumah yang berusia hampir 100 tahun itu, para pelancong berpeluang menyaksikan keindahan reka bentuk rumah Melayu Melaka yang terdiri daripada serambi, rumah ibu dan dapur. "Mereka juga berpeluang menyaksikan barang-barang untuk upacara perkahwinan masyarakat Melayu seperti pelamin, bilik pengantin, barang-barang hantaran dan pakaian pengantin. "Mereka boleh juga memakai pakaian pengantin yang disediakan untuk dirakamkan sebagai kenangan,'' katanya. Rahimah yang merupakan ibu kepada 14 orang anak memberitahu, pelancong juga merasa seronok apabila diberi peluang mencuba memakai kain pelikat dan kain batik.

Selain barangan pengantin, rumah tersebut juga mempamerkan barang-barang antik seperti tempat bara, seterika lama, pinggan mangkuk lama, pengisar beras, tempayan dan sebagainya. Di luar rumah pula, selain pelbagai pokok bunga, Rahimah turut menanam tumbuhan yang digunakan untuk masakan kaum Melayu seperti lengkuas, daun pandan dan pelbagai jenis ulam-ulaman. Menurutnya, usaha mempertahankan rumah tradisional itu adalah sejajar dengan langkah kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan di negeri ini. Rahimah berharap mendapat bantuan daripada kerajaan untuk menambah koleksi barangan antik seperti replika rumah Melayu Melaka dan gong untuk dipamerkan di rumah tersebut.

Sementara itu, seorang pemandu pelancong yang sering membawa pelancong ke rumah itu, A. Shanti, 31, berkata, kebanyakan pengunjung kagum dengan kehidupan masyarakat Melayu dan perpaduan penduduk Malacca Kampung House. "Mereka juga terkejut melihatkan saya yang berbangsa India begitu memahami cara hidup kaum Melayu dan mampu memberi penjelasan kepada mereka. "Menurut mereka, ini jauh berbeza dengan maklumat yang mereka terima sebelum ini yang menyatakan rakyat negara ini tidak hidup dalam harmoni,'' katanya.
                                                                                                                                                                                                      

Thursday 29 March 2012

Rumah Warisan Hajah Kamarbee Kampung Morten

Rumah Warisan Hajah Kamarbee Kampung Morten :
http://rumahwarisankamarbeekampungmorten.blogspot.com

 Rumah warisan yang beralamat di No. 135-A Kampung Morten, Melaka ini telah dibina pada tahun 1945. Rumah ini kini menjadi milik Puan Hajjah Kamarbee binti KM Abu Bakar. 

Rumah ini pernah menjadi johan rumah tradisional tercantik bagi kategori rumah tradisional di Kampung Morten. Pemilik rumah ini juga mempunyai kepakaran di dalam seni kerja tangan membuat buah-buahan dan kuih muih tradisional seramik.

Maklumat mengenai Kampung Morten: 
http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=merdeka2008&y=2008&dt=0820&pub=merdeka2008&sec=Berita&pg=md_05.htm

Utusan Malaysia 28/08/2002   
Contohi semangat patriotik penduduk Kampung Morten
Mohd. Aboobaker Yaakob (kiri) bersama anaknya, Zaeed Aboobaker ceria setelah berjaya menyiapkan 
kerja-kerja mengecat bumbung rumah mereka dengan warna Jalur Gemilang, baru-baru ini. 

MELAKA 19 Ogos - Penduduk negeri ini diminta meningkatkan semangat patriotik dengan menghiasi premis kediaman dan bangunan masing-masing bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan ke-51 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini. 


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Cheow berkata, usaha penduduk Kampung Morten menghiasi tempat tinggal dan sekeliling kampung tersebut dengan bendera serta replika Jalur Gemilang wajar dicontohi masyarakat lain. Katanya, usaha seperti itu penting digerakkan bagi memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan selain bergantung kepada acara yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

''Kerajaan negeri amat berterima kasih kepada penduduk khususnya keluarga di Kampung Morten yang mengambil inisiatif mengecat rumah mereka dengan bendera Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini. ''Biarpun tiada peruntukkan atau bantuan diberikan kepada keluarga ini namun mereka tetap bersungguh-sungguh melaksanakan kempen sambutan kemerdekaan walaupun terpaksa mengeluarkan belanja sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha penduduk Kampung Morten menggerakkan program sambutan kemerdekaan di kampung tersebut yang juga merupakan kampung tradisional masyarakat Melayu yang terletak di tengah- tengah pusat bandar Melaka.
 
Kata Har Cheow, setakat ini, kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan khas untuk disalurkan kepada penduduk Kampung Morten yang terlibat menjayakan program dan kempen bulan kemerdekaan memandangkan ia dijalankan secara sukarela. Menurutnya, masyarakat tidak perlu mengharap bantuan daripada kerajaan negeri sekiranya ingin terlibat menjayakan program bulan kemerdekaan kerana ia juga merupakan bukti tanda cinta dan sayangnya rakyat kepada negara.
 
Katanya, tanggungjawab menyemarak sambutan hari kemerdekaan tidak seharusnya juga diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan sebaliknya ia perlu dijayakan bersama oleh masyarakat dan pihak bukan kerajaan (NGO). ''Rakyat jangan bersikap hanya tunggu, mengharap dan seolah-olah tidak berdaya membuat suatu apa pun, paling kurangnya pun keluar beramai-ramai menyaksikan perarakan Hari Kemerdekaan," katanya.

Beliau berkata, masyarakat diharap tidak terlalu berkira wang ringgit semata-mata hanya untuk membeli Jalur Gemilang bagi tujuan untuk memasang bendera pada kenderaan dan rumah kediaman. ''Semua ini memerlukan pengorbanan dan semangat nasionalisme yang tinggi di kalangan masyarakat tetapi tidak semua di antara kita yang memiliki sifat-sifat ini," katanya.                                                                                                                                                   

Wednesday 28 March 2012

Rumah Warisan Penghulu Md Natar Merlimau

Rumah Warisan Penghulu Md Natar Merlimau :
 
 warisan  terindah seni bina melayu

Rumah ini telah dibina pada tahun 1831 dengan anggaran kos sebanyak RM23,000 ini dibangunkan oleh Penghulu Demang Abdul Ghani. Rumah ini telah diwariskan kepada anak beliau iaitu Penghulu Md Natar mempunyai pelbagai unsur alam dalam seni binaan sebagai lambang kemahiran, keunikan dan warisan seni bina orang Melayu dahulu.

Maklumat dari akhbar :
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Urban&pg=ur_02.htm 

Rumah Melayu asli Penghulu Natar 
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.m

TANGGA di rumah ini dihiasi dengan jubin yang diimport dari negara China.

RUMAH Penghulu Natar yang terletak di Merlimau, Melaka sudah berusia hampir dua abad. Namun, ia masih tegap dan gah di tapak asalnya. Sesungguhnya, ia kekal tersergam atas titik peluh dan kemahiran tukang kayu pada zaman dulu sangat mengagumkan. Pewaris rumah bersejarah itu, Md. Ramli Md. Natar, 66, berasa bertuah. Dia telah mewarisi satu hasil seni bina yang dikatakan melampaui zaman dan warisan budaya. Rumah persis Istana Melaka itu mula dibina pada tahun 1895 sebelum menjalani siri proses ubah suai dan siap sepenuhnya pada tahun 1918. Sesetengah penduduk Merlimau memberi jolokan rumah itu sebagai Istana Merlimau atau Rumah Merlimau. “Datuk saya, Datuk Demang Haji Abdul Ghani Haji Abdul Majid dan ayah saya, Penghulu Natar berjaya melahirkan nilai-nilai estetika dan kehalusan pada rumah yang kami anggap sebagai satu yang luar biasa,” kata Md. Ramli. Ketika kedatangan Kosmo!, anaknya, Rizal, 37, yang merupakan pewaris seterusnya turut serta. 

Mahkamah rakyat 

Md. Ramli dengan rela hati membawa penulis meninjau isi dalam rumah yang penuh nostalgia itu. Rumah yang mempunyai pengaruh Palembang, Kemboja, Champa dan Filipina itu boleh disimpulkan sebagai unik. Bentuk rumah itu mempunyai ciri Melayu tetapi anjungnya berbumbung limas. Rumahnya besar dua sebandung dengan dapur masaknya berbumbung lintang dan ruangnya juga sangat luas. Rumah besar dan dapurnya dipisahkan oleh sebuah pelantar simen, tiga buah anjung, serambi, dapur memasak dan perigi. Perkara yang menarik dalam rumah itu ialah tiang serinya. Ia mempunyai tiang asas tetapi tiang tersebut telah dilapik dengan papan berlorek yang hiasi kelopak bunga. Tangga di hadapan rumah pula dihiasi dengan jubin yang diimport dari China. Rumah Penghulu Natar mematuhi prinsip rumah Melayu asli yang mengekalkan tradisi seni bina alam Melayu. Rumah itu cukup luas tetapi tidak berbilik. Kata Md. Ramli, jika ia berbilik, rumah itu akan bertentangan dengan elemen rumah Melayu tulen. Pada era dahulu, rumah tradisional bukan semata-mata dijadikan kawasan kediaman tetapi fungsinya umpama istana.
RUANG luas serambi rumah dijadikan sebagai Mahkamah Rakyat
yang membicarakan kes-kes jenayah di Melaka pada zaman dulu.

Antara peranan penting ialah rumah itu juga bertindak sebagai Mahkamah Rakyat. Demang Abd. Ghani ketika itu telah diberi kuasa oleh pihak British untuk menyelesaikan dan membicarakan masalah sosial rakyat. Antara kes yang dibicarakan mengikut pertimbangan ialah kes mencuri, melarikan anak dara dan masalah tanah. Lazimnya, Mahkamah Rakyat akan bersidang pada sebelah malam. Dibelakang rumah itu juga, terdapat lokap untuk penahanan sementara, sebelum pesalah dihantar kepada pihak polis. 

Pelamin kekal dan loteng 

Md. Ramli menambah, rumah tersebut juga pernah dijadikan sebagai Pejabat Daerah dan Pejabat Memungut Cukai. “Mesyuarat rasmi kerajaan selalu diadakan di sini. Pegawai British biasanya akan menaiki kuda untuk datang ke sini dan selalu akan bermalam di rumah ini,” katanya. Perang Naning (1831-1832) dan Perang Rokam (1887) yang meletus di Serkam, Melaka telah menyebabkan British memaksa orang Melaka membayar cukai. Cukai yang dibayar dalam bentuk tunai atau hasil tanaman seperti padi dan kelapa turut berpusat di rumah bersejarah itu. Setiap hari ada saja cukai yang dihantar melalui kereta lembu ke rumah itu. Sepanjang tinjauan Kosmo! di kawasan rumah tradisional itu, tumpuan jadi terarah ke kawasan tengah rumah. “Itulah pelamin yang dibina secara kekal. Ia digunakan ketika masyarakat Merlimau melangsungkan perkahwinan,” terang Md. Ramli. Pelamin itu mempunyai dua aras dan lengkap dengan pagarnya sekali. Ukirannya begitu menarik dan teliti. Pada masa dulu, di kiri kanan pelamin itu terdapat ukiran dua ekor naga yang dicat dengan warna emas. Satu lagi ciri rumah Melayu yang terdapat di rumah Penghulu Natar ialah loteng. Lotengnya sangat luas. Untuk naik ke loteng berkenaan, sebuah tangga kayu disediakan. Menurut Md. Ramli, biasanya ruang loteng itu menempatkan anak-anak gadis ketika majlis perkahwinan.


Inap desa 

Baru-baru ini, Kerajaan negeri Melaka berhasrat menjadikan rumah tradisional Penghulu Natar menjadi produk pelancongan inap desa. Memetik kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, keunikan dan populariti rumah tersebut wajar dikomersialkan. Menurutnya, usaha itu selain meningkatkan pencapaian industri pelancongan negeri, turut menyumbang kepada pendapatan negeri dalam sektor berkenaan. “Amat wajar keunikan dan keistimewaan rumah ini diketengahkan kepada masyarakat luar terutama pelancong asing yang belum pernah melihat sendiri rumah kampung tradisional,” kata beliau. Mohd. Ali sendiri terpesona dengan keunikan jubin lama dan saiz rumah itu yang boleh menampung kehadiran pelancong, termasuk mereka yang ingin bermalam. Sementara itu, tokoh sejarah Melaka, Baharam Azit, 69, berkata, rumah itu perlu diawasi dan dijaga sebaik-baiknya supaya tidak lenyap ditelan zaman. “Sejarah rumah ini harus dipelihara supaya terus menjadi kenangan bangsa dan kebanggaan negara,” katanya. 




PELAMIN kekal disediakan untuk upacara berinai mempelai wanita.