warisan terindah melaka - Rumah Penghulu Abdul Ghani / Penghulu Md Natar terletak di Merlimau Melaka

Monday 2 April 2012

Rumah Warisan Rahimah Tompang Pengkalan Batu

Rumah Warisan Rahimah Tompang Pengkalan Batu:
http://rumahwarisanrahimahtompangpgklnbatu.blogspot.com/



Rumah yang beralamat di No. C 8481 Batu 3 1/2 Pengkalan Batu, Batu Berendam, Melaka ini dimiliki oleh Puan Rahimah binti Tompang. Rumah telah berusia lebih dari seratus tahun terus mengekalkan keindahan seni bina rumah limas melaka dengan ukiran dan seni taman yan sungguh indah.

Kawasan ini turut mengekalkan suasa perkampungan Melayu Melaka di mana pada setiap hujung minggu kawasan perkampungan Pengkalan Batu ini sentiasa bersedia untuk menerima kunjungan pelancong dari luar dan juga pengunjung tempatan.

Maklumat melalui akhbar :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm

ARKIB : 01/10/2000 Utusan Malaysia
Keunikan rumah kayu Melaka
RAHIMAH Tompang menunjukkan salah sebuah bakul antik peninggalan keluarganya.

Rata-rata pelancong asing ini tertarik dengan keunikan cara hidup dan budaya masyarakat Melayu serta keindahan reka bentuk rumah Melayu Melaka yang jelas dilihat di Malacca Kampung House yang terletak kira-kira 5.6 kilometer dari bandar Melaka. Pemilik rumah berkenaan, Rahimah Tompang, 49, berkata, sejak dibuka kepada pelancong pada bulan Mei 1998, hampir 5,000 pelawat asing dan tempatan telah mengunjungi rumah tersebut.  

Kebanyakan mereka yang datang dari Eropah, Asia Timur dan Amerika Syarikat dapat menyaksikan sendiri cara hidup dan budaya masyarakat Melayu di negara ini. "Melalui lawatan itu mereka lebih memahami dan mengetahui adat resam, kebudayaan dan kehidupan keluarga Melayu,'' katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Di rumah yang berusia hampir 100 tahun itu, para pelancong berpeluang menyaksikan keindahan reka bentuk rumah Melayu Melaka yang terdiri daripada serambi, rumah ibu dan dapur. "Mereka juga berpeluang menyaksikan barang-barang untuk upacara perkahwinan masyarakat Melayu seperti pelamin, bilik pengantin, barang-barang hantaran dan pakaian pengantin. "Mereka boleh juga memakai pakaian pengantin yang disediakan untuk dirakamkan sebagai kenangan,'' katanya. Rahimah yang merupakan ibu kepada 14 orang anak memberitahu, pelancong juga merasa seronok apabila diberi peluang mencuba memakai kain pelikat dan kain batik.

Selain barangan pengantin, rumah tersebut juga mempamerkan barang-barang antik seperti tempat bara, seterika lama, pinggan mangkuk lama, pengisar beras, tempayan dan sebagainya. Di luar rumah pula, selain pelbagai pokok bunga, Rahimah turut menanam tumbuhan yang digunakan untuk masakan kaum Melayu seperti lengkuas, daun pandan dan pelbagai jenis ulam-ulaman. Menurutnya, usaha mempertahankan rumah tradisional itu adalah sejajar dengan langkah kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan di negeri ini. Rahimah berharap mendapat bantuan daripada kerajaan untuk menambah koleksi barangan antik seperti replika rumah Melayu Melaka dan gong untuk dipamerkan di rumah tersebut.

Sementara itu, seorang pemandu pelancong yang sering membawa pelancong ke rumah itu, A. Shanti, 31, berkata, kebanyakan pengunjung kagum dengan kehidupan masyarakat Melayu dan perpaduan penduduk Malacca Kampung House. "Mereka juga terkejut melihatkan saya yang berbangsa India begitu memahami cara hidup kaum Melayu dan mampu memberi penjelasan kepada mereka. "Menurut mereka, ini jauh berbeza dengan maklumat yang mereka terima sebelum ini yang menyatakan rakyat negara ini tidak hidup dalam harmoni,'' katanya.
                                                                                                                                                                                                      

No comments:

Post a Comment