warisan terindah melaka - Rumah Penghulu Abdul Ghani / Penghulu Md Natar terletak di Merlimau Melaka

Monday 26 March 2012

Mengumpul Khazanah Melayu

Blog ~ rumahwarisanmelaka.blogspot.com ~ adalah blog milik individu. Ianya telah dibangunkan bagi menyokong usaha-usaha murni kerajaan negeri melaka melalui perzim (perbadanan muzium melaka) dalam mengekal dan memulihara rumah warisan atau rumah tradisional masyarakat melayu yang berada di negeri melaka.

Sehingga tahun 2012, terdapat 20 rumah tradisional melayu di negeri melaka telah diberikan status rumah warisan melaka oleh pihak perzim. Sebagai langkah awal merekod dan merakamkan rumah warisan yang terdapat di negeri melaka, dua kumpulan pelajar dari kelas JIM110 6E dan JIM110 6E UiTM Johor sesi Jan-April 2012 telah diminta untuk membangunkan blog bagi beberapa buah rumah warisan.

Diharapkan usaha yang dilakukan ini dapat menyimpan rakaman dalam bentuk gambar dan catatan mengenai rumah warisan, pemilik rumah warisan dan khazanah yang terdapat di rumah tersebut untuk tatapan generasi akan datang.

MELAKA BANDARAYA WARISAN DUNIA
http://mitc.org.my/mitc/ebrowser/mbwd.pdf

Bandaraya Melaka terkenal dengan tinggalan sejarah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008 sebagai Bandaraya Warisan Dunia. Dengan pengiktirafan ini, Melaka telah maju selangkah lagi dan berjaya meletakkannya dipersada antarabangsa sebagai Bandaraya Warisan Dunia (World Heritage City).

Pengiktirafan ini telah dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Zon Utama (Core Zone) dan Zon Penampan (Buffer Zone). Zon utama Bandaraya Warisan Dunia ini terdiri daripada 2 kawasan. Pertama kawasan Bukit St. Paul (St. Paul’s Hill Civic Zone) yang terdiri daripada beberapa bangunan kerajaan, Muzium, Gereja dan Dataran Bandar serta Tugu A’Famosa yang dibina dalam kurun ke-16 semasa dalam pemerintahan Portugis dan Belanda.

Kawasan ke-2 adalah kawasan perumahan dan komersil yang bersejarah serta bangunan keagamaan (The Historic Residential and Commercial Zone) di sepanjang jalan utama iaitu Jalan Tun Tan Cheng Lock (Jalan Heren), Jalan Hang Jebat (Jonker Street), Jalan Tokong / Tukang Emas / Tukang Besi dan Jalan Kampung pantai.

Zon utama ini dikelilingi oleh kawasan perumahan seluas 134.03 hektar yang terdiri daripada Jalan Merdeka, Jalan Kota Laksamana, Jalan Ong Kim Wee, Jalan Tan Chang Yan, Jalan Munshi Abdullah, kawasan belakang Kampong Banda Kaba dan Jalan Chan Koon Cheng.

Pengiktirafan Bandaraya Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia merupakan salah satu daya tarikan kepada kedatangan lebih ramai pelancong dari dalam luar Negara ke negeri Melaka. Dengan sosio-budaya yang harmoni, berbilang bangsa dan kaum telah menjadikan negeri Melaka sebagai wadah yang sangat istimewa untuk dikunjungi dan ianya perlu dikekalkan dan dijaga untuk tatapan generasi madani.

“WARISAN HIDUP SEPANJANG ZAMAN” 

No comments:

Post a Comment